Sunday, March 14, 2010

Perdana Menteri rai rakan internet

2010/03/14
PUTRAJAYA: Kira-kira lima juta warga Malaysia sangat aktif dalam laman web sosial Facebook, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, ini petanda yang baik masyarakat memanfaatkan penggunaan teknologi komunikasi maklumat (ICT) dan kerajaan akan melaksanakan inisiatif jalur lebar seberapa luas yang boleh.


2010/03/14
PUTRAJAYA: Kira-kira lima juta warga Malaysia sangat aktif dalam laman web sosial Facebook, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, ini petanda yang baik masyarakat memanfaatkan penggunaan teknologi komunikasi maklumat (ICT) dan kerajaan akan melaksanakan inisiatif jalur lebar seberapa luas yang boleh.
“Dengan itu, kita dapat menghubungkan semakin ramai warga Malaysia. Kita guna internet untuk meningkatkan kesinambungan sosial. “Keindahan internet ialah ia meruntuhkan benteng antara kita. Ia meruntuhkan benteng (perbezaan) bangsa, agama dan usia. Kita berada di sini kerana kita dihubungkan di internet,” katanya pada majlis jamuan teh Perdana Menteri bersama rakan internet 1Malaysia di Seri Perdana, di sini semalam.

Najib berkata, kerajaan menggunakan teknologi terkini, iaitu internet sebagai satu daripada cara untuk berkomunikasi dengan masyarakat, contohnya selepas membentangkan Bajet 2010, beliau menerima beratus cadangan yang berguna daripada rakyat.

“Saya mahu anda semua berasakan anda mempunyai kerajaan yang sangat responsif kepada keperluan dan aspirasi rakyat Malaysia.

“Kami akan menggunakan teknologi terkini untuk berhubung. Melalui cara ini, kita akan memperoleh komunikasi dua hala dan kesinambungan antara rakyat dan kerajaan.
“Memang orang akan mengutus surat, menulis dakwaan dan sebagainya, tetapi tiada yang serupa dengan internet kerana ia semestinya kaedah paling berkesan untuk berkomunikasi,” katanya.

Mengenai majlis perjumpaan itu, Najib berkata, pertemuan yang julung kali diadakan itu sebagai kaedah untuk mengenali secara bersemuka dengan rakan internet yang mengambil inisiatif untuk mendaftar sebagai rakan Facebook beliau.

Perdana Menteri berkata, beliau tidak dapat menjemput semua rakan internetnya yang kini kira-kira 120,000 orang dan jumlah itu meningkat setiap hari.
Beliau berkata, 300 orang dipilih memandangkan ia jumlah maksimum yang dapat memenuhi saiz dewan bankuet di Seri Perdana dan lebih ramai lagi dijemput pada majlis seumpama itu pada masa akan datang.

Sambil melahirkan penghargaan kepada rakan internetnya kerana sangat responsif dan turut meminta maaf kerana adakalanya tidak dapat membalas komen yang diberikan, beliau menyifatkan majlis itu sangat berjaya. – Bernama

No comments:

Post a Comment