Sunday, March 14, 2010

Bahan api untuk kegunaan masa hadapan

Friday, 12 February 2010 23:01

Amalan memberikan subsidi bahan api adalah bertujuan untuk mengurangkan kesan peningkatan kos harian. Biarpun begitu, amalan ini mendapat reaksi yang berbagai-bagai daripada beberapa pihak. Walau bagaimanapun, keadaan sebenarnya masih belum diperjelaskan.

Setiausaha Agung, Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM), S. Piarapakaran berkata tumpuan perlu diberikan kepada krisis bahan api dan sumber tenaga masa hadapan. Ini bagi memastikan pembangunan lestari yang berterusan. Bahan api dan tenaga adalah perkara yang berkaitan dan tidak boleh dipisahkan.


Beliau berkata bahawa bahan api fosil di Malaysia akan kehabisan dalam masa yang singkat. Jika ini berlaku, apakah sumber bahan api untuk kegunaan masa hadapan?

Dalam Memorandum Tenaga dan Pengguna yang dihantar pada 28 September 2007 kepada Pejabat Perdana Menteri dan beberapa kementerian yang berkaitan, WECAM (yang dahulunya dikenali sebagai Bahagian Alam Sekitar FOMCA) telah mengutarakan beberapa kaedah penyelesaian isu bahan api dan tenaga.

WECAM menekankan bahawa keutamaan perlu diberikan kepada keperluan untuk mencari bahan api dan tenaga alternatif. Kajian terhadap perkara ini perlu dilakukan yang teliti. Beliau juga meminta kerajaan berhati-hati bagi mengelakkan berlakunya monopoli, di samping mewujudkan mekanisme penguatkuasaan yang cekap dan berkesan.

Di kebanyakan negara maju, langkah awal yang dilakukan adalah mengurangkan peratus penggunaan bahan api yang besar bagi kenderaan persendirian. Ini dilakukan dengan mewujudkan perkhidmatan pengangkutan awam yang efisyen, yang menyepadukan semua jenis pengangkutan sebagai satu entiti.

S. Piarapakaran berkata, “Kita perlu memastikan bahan api pada masa hadapan memberikan impak yang minimum kepada alam sekitar. Tenaga solar dan bahan biojisim merupakan antara sumber yang boleh dikaji dan dibangunkan. Adalah penting untuk kita meningkatkan pengetahuan dalam bidang ini supaya perkembangan dalam bidang ini tidak terputus di tengah jalan.”

WECAM juga mendapati bahawa teknologi kereta yang mesra alam tidak dibangunkan secara terbuka di dalam negara. Terdapat teknologi seperti kereta hibrid yang menggunakan separuh bahan api serta separuh lagi tenaga elektrik, kereta solar dan banyak lagi. Pembuat kereta tempatan sewajarnya berusaha untuk ‘menghijaukan’ teknologi mereka dan mempersiapkan rakyat Malaysia serta institusi mereka ke arah ‘masa hadapan yang hijau’.

Beliau juga berkata, “Kita boleh mengambil contoh beberapa buah Negara yang telah mencuba penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui. Umpamanya di Brazil, gas daripada biomas juga digunakan untuk kenderaan berat. Bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, sistem pengekstrakkan biogas daripada sisa pertanian, penternakan dan kumbahan perlu diceburi. Enjin yang cekap juga akan memastikan kecekapan dalam penggunaan bahan api.”

Ujar S. Piarapakaran lagi, ”Walaupun negara kita mempunyai minyak mentah sendiri, namun kita tidak sepatutnya lupa bahawa menjadi tanggungjawab kita sepenuhnya untuk memastikan adanya masa hadapan untuk generasi akan datang. Jangan habis semua sumber yang ada itu sekarang.”

No comments:

Post a Comment