Thursday, March 11, 2010

Keistimewaan dan Kemudahan Kepada Golongan OKU

Berikut adalah maklumat tambahan keistimewaan dan kemudahan kepada golongan OKU yang diperolehi dari laman sesawang Jabatan Penerangan Malaysia untuk rujukan kita bersama:

1) Sukan
Majlis Paralympik Malaysia telah ditubuhkan bagi menggalakkan sukan dan rekreasi di kalangan OKU. Jabatan dan NGOs bersama-sama menganjur dan menggalakkan OKU di dalam berbagai bidang sukan dan riadah. Kejohanan Sukan Paralympik Malaysia bagi Orang Kurang Upaya/ Jemputan ASEAN diadakan dua tahun sekali. Skim insentif bagi ahli sukan OKU dan hadiah berbentuk kewangan kepada pemenang atlit di Kejohanan Sukan Antarabangsa disediakan.

2) Kegiatan Kesenian dan Kebudayaan
Untuk menggalakkan OKU menyertai pelbagai kegiatan kesenian dan kebudayaan, satu kumpulan Kesenian Orang Kurang Upaya ditubuhkan dan satu tabung juga dilancarkan bagi memudahkan kumpulan ini menjalankan aktiviti dan latihan.

3) Kemudahan Pendidikan
Kementerian Pendidikan di bawah Jabatan Pendidikan Khas menyediakan kelas khas kepada kanak-kanak cacat penglihatan, pendengaran dan bermasalah pembelajaran. Program pendidikan dijalankan di sekolah khas pendidikan dan melalui program integrated di sekolah biasa. Kerajaan juga mengecualikan bayaran pendaftaran kemasukan pelajar kurang upaya pendengaran yang mengikuti latihan kemahiran di institusi pengajian di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan. Bagi Pelajar yang berjaya mereka akan mendapat elaun bulanan sebanyak RM300.00 sebulan.

4) Kemudahan Akses di Bangunan Awam
• Satu Jawatankuasa telah ditubuhkan untuk memastikan OKU ada akses tanpa halangan dalam menggunakan kemudahan awam. Akses OKU kepada kemudahan dalam dan luar bangunan telah dimasukkan dalam pindaan kepada Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984;

• Dalam hubungan ini Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mengambil inisiatif dan memainkan peranan dalam menggalakkan berbagai kemudahan diwujudkan bagi membolehkan mereka yang kurang upaya bergerak bebas. Satu daripada pencapaian ini ialah penubuhan Jawatankuasa Teknikal yang Urusetianya ialah SIRIM telah merangka “Kod Amalan Akses Bagi Orang Kurang Upaya Ke Bangunan Awam” yang mana telah menghasilkan pindaan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 berkaitan dengan kehendak bangunan untuk OKU yang mana bangunan baru diwajibkan mempunyai kemudahan akses kepada OKU. Antaranya termasuklah “ram” dan “railings”, laluan yang bersesuaian dengan kerusi roda,lif khas dengan reka bentuk yang sesuai, tempat letak kereta, tandas khas dan sebagainya.

5) Kemudahan Dan Galakan Pelepasan Cukai
Kerajaan juga memperluaskan potongan cukai berganda dalam tahun 1981 kepada majikan yang mengambil pekerja kurang upaya dan dalam tahun 1991. Kerajaan pula menambahkan bagi pelepasan pengecualian cukai bagi ibubapa yang mempunyai anak kurang upaya di bawah umur 18 tahun. Kerajaan juga memberi ribet cukai kepada pembayar cukai bagi membeli alat khas bagi kegunaan sendiri atau kegunaan anak dan ibubapa yang kurang upaya;

Sebagai galakan berterusan bagi memelihara OKU dan sebagai pelepasan tambahan kepada potongan diri RM5,000 dan potongan untuk isteri RM3,000, Kerajaan telah meluluskan pelepasan tambahan sebanyak RM5,000 diberi kepada pembayar cukai yang kurang upaya dan sebanyak RM2,500 lagi kepada pasangan yang kurang upaya mulai tahun 1995.

6) Kemudahan Pengangkutan Awam
Jabatan sentiasa menggalakkan syarikat pengangkutan supaya memberi tambang konsesi kepada OKU. Sehingga kini terdapat beberapa buah syarikat pengangkutan telah memberi insentif pengangkutan kepada golongan kurang upaya. Antaranya Sistem Penerbangan Malaysia memberi tambang murah sehingga 50% bagi penerbangan dalam negeri, Keretapi Tanah Melayu memberi tambang konsesi sehingga 50% bagi semua perjalanan bagi semua kelas, Syarikat bas TRANSNASIONAL memberi konsesi 50% daripada harga tambang dan PUTRA-LRT juga telah memberi konsesi tambang kepada golongan kurang upaya.

7) Pengecualian Bayaran Rawatan Perubatan
OKU dikecualikan daripada bayaran rawatan di Hospital Kerajaan termasuk bayaran wad kelas tiga, bayaran pakar dan ubat-ubatan.

8) Pengecualian Bayaran Dokumen Perjalanan
Jabatan Imigresen mengecualikan bayaran ke atas perkhidmatan menyedia dan memproses dokumen perjalanan (passport Antarabangsa) kepada golongan kurang upaya.

9) Kemudahan Peluang Pekerjaan
• Komitmen kerajaan untuk membuka peluang pekerjaan kepada golongan kurang upaya terbukti melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil. 10/1988 yang telah dikeluarkan yang mana kuota 1% peluang pekerjaan di sektor awam diperuntukkan kepada golongan orang kurang upaya;

• Bagi Sektor Swasta, Jawatankuasa Penggalakan Pengajian Orang Cacat Di Sektor Swasta telah ditubuhkan dalam tahun 1990 di bawah Jabatan Buroh Semenanjung Malaysia telah mewujudkan Kod Amalan Penggajian Orang Kurang Upaya di Sektor Swasta yang merupakan suatu garis panduan kepada agensi kerajaan, majikan, pertubuhan majikan, pekerja, kesatuan sekerja dan pertubuhan OKU serta OKU sendiri untuk pendaftaran dan penempatan kerja OKU bekerja di sektor swasta;

• Bagi OKU, mereka boleh membuat pendaftaran di mana-mana pejabat buruh di negeri dan daerah

10)Kemudahan Membeli Kereta Dan Motorsikal Nasional
• Kerajaan memberi pengecualian cukai jualan sebanyak 50% ke atas pembelian kereta atau motorsikal nasional bagi OKU yang berkeupayaan memandu dan tidak berkeupayaan memandu;

• Bagi OKU yang berkeupayaan memandu, setiap permohonan mestilah disertakan dokumen berikut:-
i. Kad Kenal Diri Orang Kurang Upaya;
ii. Kad Pengenalan;
iii. Lesen Memandu yang sah;
iv. Maklumat Kenderaan - Model, No.Enjin, No.Chasis dll.

• Bagi golongan OKU yang tidak berkeupayaan memandu, mereka boleh mendapat kemudahan tersebut dengan syarat Pihak kedua Ibubapa/isteri) boleh memandu bagi pihak mereka. Setiap permohonan mestilah disertakan dolumen berikut:-
i. Lesen memandu - pihak kedua;
ii. Kad Pengenalan - pihak kedua;
iii. Maklumat yang menyokong hubungan antara penama dan pihak kedua;
iv. Kad Pengenalan;
v. Kad Pengenalan OKU;
vi. Maklumat Kenderaan – Model, No.Enjin, No.Chasis dll.

11)Kemudahan Alat Ganti OKU.
Kerajaan memberi pengecualian duti impot dan cukai jualan ke atas semua peralatan direka khas untuk kegunaan OKU.

12)Pencen Terbitan
Kerajaan melalui JPA menyediakan pencen terbitan kepada anak/tanggungan penjawat awam yang meninggal dunia.

13)Kemudahan Mendapat Latihan dan Pemulihan
Jabatan Kebajikan Masyarakat menyediakan program latihan kepada kanak-kanak kurang upaya dengan menyediakan program latihan kemahiran dan pemulihan diri di Institusi Jabatan. Buat masa ini perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan ini kepada kategori kurang upaya anggota dan akal (bermasalah pembelajaran) sahaja.

14)Kemudahan Geran Pelancaran
Jabatan Kebajikan Masyarakat juga membantu golongan kurang upaya yang berpendapatan kecil atau yang ingin menjalankan perniagaan kecil dengan menyediakan peruntukan geran pelancaran berkadar maksimum RM2,000

15)Sumbangan Kepada Program-Program OKU
Jabatan menggalakkan penyertaan aktif dan sumbangan daripada sektor swasta/ korporat untuk memainkan peranan yang lebih besar dan positif bagi kebajikan OKU selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menuju ke arah masyarakat penyayang menghadapi Wawasan 2020 dan menepati Dasar Kebajikan Masyarakat Negara.

16)Kemudahan Telekom
• Telekom Malaysia telah menyediakan insentif/kemudahan kepada golongan OKU seperti berikut:-
i. Bayaran Sewa bulanan di kecualikan kepada golongan kurang upaya.
ii. Panggilan 103 (operator) tidak dikenakan sebarang caj
iii. Menyediakan panggilan menunggu atau panggilan pindahan secara percuma.

• Bagi OKU berumur 19 tahun dan ke atas mereka layak memohon menggunakan maklumat sendiri dan bagi mereka berumur 18 tahun dan ke bawah mereka juga boleh memohon perkhidmatan bagi pihak keluarga mengikut syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak TMB.

17)Takaful Malaysia Berhad - Menyediakan Insuran(Perlindungan) bagi OKU yang merangkumi Perlindungan bagi:-
i. Kemalangan;
ii. Kematian - urusan pengkebumian;
iii. Keilapan Kekal (kurang upaya/disability) akibat penyakit;
iv. Keilapan Kekal akibat kemalangan;
v. Perbelanjaan perubatan kecederaan akibat kemalangan

Syarat-syarat permohonan:
i. Berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat;
ii. Berdaftar dengan mana-mana persatuan.

(Sumber: http://pmr.penerangan.gov.my)

No comments:

Post a Comment