Sunday, January 31, 2010

UMP, Sapura Industrial jalin kerjasama bangun modal insan

Date : 1 Februari
Publication : Berita online
UNIVERSITI Malaysia Pahang (UMP) akan membantu pengeluar peralatan ganti automotif, Sapura Industrial Berhad (SIB) dalam pembangunan modal insan selain bekerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan. Berikutan itu, kedua-dua pihak menandatangani perjanjian meliputi bidang penyelidikan dan pembangunan, latihan industri, pembangunan kapasiti dan penyertaan yang lebih luas dalam program sedia ada di universiti dan syarikat berkenaan. Majlis menandatangani perjanjian itu dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sapura Industrial Berhad, Mohamad Razali Osman dan Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang, Profesor Datuk Dr Daing Mohd Nasir Daing Ibrahim, di Kuala Lumpur, kelmarin.
Mohd Razali, berkata perjanjian itu akan memanfaatkan sepenuhnya reputasi, kepakaran dan pengalaman syarikat dalam bidang pengeluaran, pemasangan, pembekalan, jualan serta penyelidikan dan pembangunan peralatan ganti dan komponen automotif bagi pasaran dalam dan luar negara. UMP pula memiliki pengkhususan tinggi dalam memberikan penyelidikan, pembangunan dan inovasi dalam bidang kejuruteraan dan teknologi serta menawarkan pakej lengkap untuk kursus berkualiti tinggi daripada program ijazah hinggalah ke lepasan ijazah. Mohamad Razali berkata, perjanjian itu akan membuka ruang bagi kedua-dua organisasi untuk bekerja sama demi membangunkan dan meningkatkan kemahiran dan kemampuan tenaga kerja kita.
“Kakitangan SIB akan dapat mengikuti program lepasan ijazah di UMP bagi menjalani kerja penyelidikan yang membolehkan mereka memperoleh ijazah dalam bidang yang berkaitan. Dalam pada itu, kakitangan dan pelajar UMP akan dibenarkan menjalani latihan industri dengan syarikat kumpulan SIB,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, kelmarin

No comments:

Post a Comment