Sunday, January 31, 2010

UM dipelawa latih pengasuh Permata

Date : 01 Februari 2010
publication : berita Harian

KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mempelawa Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM) bekerjasama dengan Permata Negara dalam menyediakan latihan kepada pengasuh kanak-kanak bagi progam itu. Rosmah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Dasar Permata Negara, berkata dengan pencapaian UM yang berjaya melahirkan ratusan pendidik dan membentuk pasukan profesional daripada pelbagai latar belakang dalam pendidikan awal kanak-kanak sejak 12 tahun lalu, kerjasama itu memberi manfaat dalam usaha melatih pengasuh Permata. “Setakat ini, Permata bekerjasama rapat dengan jayanya bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan kita mengalu-alukan penyertaan UM dalam bidang ini,” katanya ketika merasmikan Persidangan Asia Pasifik Siswazah Pendidikan Awal Kanak-kanak (APAC) 2010 di universiti itu di sini, semalam.

Beliau berkata, kira-kira 210 pusat Permata akan dibina, dinaik taraf dan diberi kelengkapan dengan alat pembelajaran melalui peruntukan sebanyak RM100 juta yang diberikan kerajaan bagi tahun ini. Katanya, pada penghujung tahun lalu, lebih 400 pusat asuhan kanak-kanak bagi Jabatan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Perpaduan Negara, komuniti dan di tempat kerja sudah dibina, dinaiktaraf atau diperbaharui sebagai pusat Permata Negara melalui peruntukan RM150 juta di bawah pakej rangsangan pertama tahun lalu dan memberi manfaat kepada lebih 16,000 kanak-kanak berumur di bawah lima tahun. “Cabaran kepada kita adalah untuk memastikan usaha memberikan pendidikan mencukupi dan jagaan kepada kanak-kanak adalah inklusif dan tidak ada kanak-kanak ketinggalan,” katanya.

Rosmah juga berharap, ibu bapa yang menghantar anak ke pusat Permata dapat meluangkan masa bersama anak mereka sekurang-kurangnya sejam seminggu. “Ibu bapa boleh menjenguk anak mereka semasa makan tengah hari, makan bersama anak-anak kerana pusat Permata menggalakkan ibu bapa datang berinteraksi dengan anak mereka apabila mereka ada masa,” katanya

No comments:

Post a Comment