Tuesday, January 26, 2010

Pengajar UTM akan diserap budaya inovasi


JOHOR BAHRU 28 Ogos - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan menerapkan budaya inovasi di kalangan tenaga pengajarnya dalam usaha menjadikan universiti itu sebagai pelopor dalam penciptaan terbaru.

Naib Canselornya, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Zulkifli Mohd. Ghazali berkata, penekanan kepada inovasi amat penting kerana ia merupakan satu konsep yang tulen dalam menghasilkan sesuatu produk.

Beliau berkata, walaupun sudah ada universiti inovasi di dunia misalnya Georgia Technology di Amerika Syarikat tetapi UTM akan memberi penekanan berbeza agar produk yang dihasilkan menampakkan kegunaan terus kepada industri.

"Bidang penyelidikan pula kadangkala sukar untuk mencari perbezaan dengan inovasi, namun UTM berharap dapat mencapai kedua-dua status tersebut pada masa akan datang," katanya ketika berucap pada majlis Pengiktirafan Penyelidik dan Pelancaran Monograf Sains dan Teknologi di sini malam tadi.

Pada majlis itu, Prof. Wan Azlina Wan Ahmad dari Fakulti Sains muncul penerima insentif tertinggi sebanyak RM16,000 atas kejayaan mengharumkan nama UTM menerusi pertandingan penyelidikan di dalam dan luar negara.

Dr. Mohd. Zulkifli memberitahu, UTM Kampus Jalan Semarak di Kuala Lumpur akan dikenali sebagai UTM Kampus Antarabangsa selepas kerja-kerja pengembangan kampus seluas 16 hektar itu siap tidak lama lagi.

Katanya, UTM juga merancang untuk membangunkan kawasan seluas 32 hektar bersebelahan kampus tersebut dalam usaha menarik lebih ramai penuntut antarabangsa mengikuti pengajian di situ.

"UTM menetapkan sasaran seramai 2,700 penuntut antarabangsa dan sehingga kini jumlahnya seramai 1,700 orang.

"Sebenarnya ramai penuntut antarabangsa yang memohon untuk mengikuti pengajian di UTM, tetapi kita terpaksa menolak permohonan mereka kerana tidak memenuhi kriteria," katanya.

No comments:

Post a Comment