Sunday, January 31, 2010

Prospek berkesan

Date : 01 januari 2010
Publication : berita harian

SERAMAI 564 pelajar Tingkatan Lima dan Enam daripada 13 sekolah menengah sekitar Hulu Terengganu menyertai Seminar Pendidikan Kebangsaan (Prospek) 2009/2010 anjuran Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama Berita Harian dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Hulu Terengganu, baru-baru ini. Selain penyertaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Intan sebagai tuan rumah, seminar sehari itu turut disertai pelajar SMK Matang; SMK Kuala Telemong; SMK Mahmudiah; SMK Jenagor; SMK Menerang; SMK Tersat; SMK Seri Berang; SMK Imtiaz Kuala Berang; SMK Bukit Diman; SMK Ajil; SMK Jenderis dan SMK Landas. Timbalan Pengarah Projek, Nur Atiqah Daud yang juga penuntut tahun dua UM, berkata Prospek adalah program khas tahunan anjuran Kolej Kediaman Keempat universiti itu dan dikendalikan oleh 40 ahli jawatankuasa yang terdiri daripada penghuni asrama berkenaan.


Katanya, penganjuran yang masuk tahun ketiga itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar sekolah mengenai institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, termasuk segala kursus yang ditawarkan, kelebihan sesebuah IPT, pinjaman atau biasiswa yang ditawarkan di Malaysia. "Tahun ini sudah tiga tahun UM bekerjasama dengan Berita Harian menganjurkan Prospek dan kerjasama yang diberikan oleh PPD di setiap negeri yang dilawati amat baik dan memberangsangkan. "Malah, selain menyebarkan maklumat mengenai universiti, Prospek juga dapat mengeratkan hubungan antara mahasiswa dan mahasiswi UM dengan pelajar sekolah berkenaan," katanya ketika ditemui di SMK Tengku Ampuan Intan.

Hadir sama, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Mohd Noor Othman dan Eksekutif Kanan Bahagian Penjenamaan dan Pemasaran Berita Harian, Ahmad Firdaus Salahuddin Shah. Nur Atiqah berkata, UM sentiasa berusaha untuk menambah baik penganjuran Prospek saban tahun dan pada tahun ini, pihaknya akan mengadakan siri lawatan ke-12 negeri termasuk Sabah dan Sarawak. "Selain itu, pada tahun ini kita sasarkan Prospek kepada pelajar di sekolah pedalaman kerana kami ingin pastikan mereka turut mendapat pendedahan dan maklumat berkaitan IPT sama seperti pelajar di kawasan bandar. "Malah mengikut pengalaman lalu, pelajar luar bandar lebih berminat untuk mengikuti seminar sebegini berbanding pelajar bandar yang mungkin sudah biasa menerima pendedahan seperti akses melalui internet," katanya.
Sementara itu, seorang pelajar dari Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Berang, Sharifah Nur Ain Zulaikha Syed Othman berkata, Prospek perlu diteruskan setiap tahun kerana ia menyalurkan maklumat penting terutama kepada pelajar Tingkatan Lima berkenaan hala tuju selepas menamatkan alam persekolahan. Dia berkata, walaupun selalu mendapat maklumat daripada guru mengenai IPT, Prospek lebih berkesan kerana ia disampaikan sendiri oleh penceramah yang terdiri daripada pensyarah yang pastinya lebih mengetahui perkembangan semasa universiti. "Selepas mengikuti tiga slot Prospek, saya berasa lebih jelas tentang hala tuju selepas menamatkan alam persekolahan dan merancang masa depan dengan lebih baik," katanya. Rakannya, Mohd Nor Shafiq Aziz, 17, berkata, dia berminat untuk menyertai Prospek selepas mendapat maklumat melalui abangnya yang pernah mengikuti program berkenaan. "Bukan saja dapat maklumat baru tetapi kami juga dapat beramah mesra dengan kakak dan abang dari UM yang baik hati berkongsi pengalaman serta tip berguna dalam menghadapi kehidupan sebagai mahasiswa nanti," katanya.

No comments:

Post a Comment